nazainik blog @_@

nufnang

Tuesday, March 19, 2013

Asas penjagaan bayi


Menjaga tali pusat
Pastikan tali pusat sentiasa bersih dan kering agar tidak dijangkiti kuman. Cuci hanya jika terkena kotoran atau air kencing dengan menggunakan kapas dan keringkan. Dedahkan bahagian pusat bayi ketika memakai lampin. Tali pusat akan tertanggal dengan sendiri, jadi anda hanya perlu biarkan saja. Jika terdapat kemerahan, bengkak, keluar darah tanpa henti, nanah atau berbau busuk, segera bawa berjumpa doktor kerana ia adalah tanda-tanda jangkitan.
Memandikan bayi
Air suam diberi keutamaan untuk mandian bayi. Gunakan siku untuk mengukur suhu air. Balut bayi dengan tuala dan tutuplah kepalanya dengan lampin selepas mandi. Selimutkan bayi seketika sebelum dipakaikan lampin dan baju supaya tidak kesejukan. Bayi tidak perlu kerap mandi dalam bulan pertama. Cukuplah dua kali seminggu terutama sebelum tali pusat tanggal. Anda boleh mula mandikan bayi dalam tub mandian atau sinki sebaik tali pusat tanggal.
Menukar lampin
Lampin bayi harus ditukar sekerap yang mungkin bagi mengelakkan bayi basah dengan air kencing atau najis. Pada kebiasaannya, bayi akan kencing setiap 1 – 3 jam. Pastikan juga tempat anda menukar lampin, sama ada meja atau katil, adalah bersih.
Menyusukan bayi
Bayi akan mengambil masa yang lama ketika menyusu. Justeru, anda mungkin mahu minum air terlebih dahulu ataupun buang air. Jika payudara anda terasa sakit selepas menyusu, tuamkan dengan ais. Pilihlah posisi yang sesuai dengan bayi dan anda. Gunakan bantal untuk sokongan. Untuk rehat seketika, selitkan jari pada mulut bayi bagi menghentikan sedutan.
Bagi susuan botol, jangan tinggalkan botol susu dimulut ketika bayi tidur. Susu yang terkumpul dalam mulut boleh mengakibatkan karies gigi. Ia juga boleh mengakibatkan jangkitan telinga akibat susu yang mengalir memasuki telinga bayi.
Tidur yang mencukupi
Bayi yang baru dilahirkan akan tidur selama 30 minit hingga 3 jam setiap kali. Selepas minggu ke-6, bayi akan tidur dalam tempoh yang lebih lama. Biarkan saja bayi anda tidur kerana ia penting untuk perkembangan mental dan fizikalnya. Namun, apabila sampai waktu menyusu, jangan ragu-ragu untuk mengejutkannya.
Membendung bayi
Membendung membuatkan bayi rasa selamat dan selesa. Ia juga mengelakkan badan bayi tersentak apabila terkejut serta mententeramkan bayi yang agak aktif. Pastikan bayi anda tidak lapar atau basah sebelum dibendung. Pastikan juga bahagian muka dan kepala tidak tertutup. Biasanya selepas sebulan, bayi tidak lagi perlu dibendung agar pembesarannya tidak terhalang.
Menenangkan bayi yang menangis
Agak sukar untuk meneka mengapa bayi anda menangis. Jika bayi menangis semasa lampin ditukar, gunakan tuala suam. Bayi juga tenang jika dibuai dan dipeluk. Antara cara pelukan yang selesa untuk bayi termasuk membaringkan bayi dalam pelukan dengan sokongan kedua-dua tangan; membaringkan bayi di atas dada dan perut anda sambil tangan anda menampung bahagian belakangnya; dan boleh juga meniarapkan bayi di atas peha jika bayi telah pandai mengangkat kepala. Alunan lagu ketika memeluk atau membuai bayi juga menenangkan.
Sedawakan bayi
Kadangkala bayi akan muntah selepas menyusu. Antara sebab ialah bayi kekenyangan, udara yang masuk ketika menyusu atau bengkung yang terlalu ketat. Apapun juga, anda dinasihatkan untuk menepuk-nepuk bahagian belakang bayi selepas menyusu bagi menggalakkannya sedawa.

No comments: