nazainik blog @_@

nufnang

Tuesday, March 19, 2013

Tip-tip mengajar anak membaca

kredit to me (@,@) learn learn n learn.......


Menanam minat membaca dalam diri anak-anak harus bermula sejak kecil. Tidak dinafikan bahawa untuk mengajar mereka membaca agak mencabar. Apa kata, amalkan beberapa panduan ini.
Tip 1: Mulakan seawal mungkin
Tanamkan minat membaca dalam diri anak-anak seawal usia bayi. Walaupun tidak dapat membunyikan apa-apa huruf, mereka masih dapat memahami konsep membaca. Ini dapat membiasakan mereka dengan buku disamping membina perhubungan kita dengannya. Jika mereka tidak dibiasakan dengan buku sedari awal, berkemungkinan mereka tidak akan menunjukkan minat apabila usia meningkat.
Tip 2: Bacakan kepada mereka
Anak-anak sehingga umur 3 tahun dapat dibantu memahami bahawa coretan diatas kertas sebenarnya mempunyai makna dengan membacakan kepadanya. Bacakan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tambahkan apabila usia meningkat. Sasarkan sebanyak 3-4 buah buku sehari. Pastikan pilihan buku yang mendapat respon paling menceriakan. Libatkan mereka ketika membaca seperti menyelak muka surat.
Tip 3: Baca dengan kefahaman
Jadikanlah tujuan membaca untuk kefahaman, bukan sekadar membunyikan perkataan. Tanyakan soalan agar mereka dapat berinteraksi dengan buku dan membantu kefahamannya. Bagi bayi, tanyakan apa yang dapat dilihat dalam buku seperti: “Anisa nampak kucing?” sambil menuding gambar kucing. Apabila meningkat usia, mintalah dia tunjukkan gambar-gambar dalam buku. Pada usia 2 atau 3 tahun, tanyakan soalan sebelum, semasa dan selepas buku dibaca. Jika berkaitan dengan perasaan, tanyakan jika dia pernah merasakan perasaan itu. Tanyakan juga tentang gambar-gambar dalam buku seperti; “Eh besarnya rumah ini. Cantik tak Ahmad?
Tip 4: Pilih bahan bacaan
Pilihan bahan bacaan penting dalam proses membaca. Harus ada keseimbangan antara keinginan melihat anak-anak membaca dan jangkaan terhadap kemampuan mereka. Berikan bahan bacaan yang sedikit mencabar tetapi mampu untuk dibaca oleh anak-anak. Kita juga boleh memilih buku asas tulisan jawi bagi tambahan buku huruf dan buku Iqra’ bagi tambahan mengajar mereka mengaji.
Tip 5: Gunakan sebanyak mungkin deria
Anak-anak lebih mudah dan cepat belajar apabila kesemua derianya digunakan. Apabila mula menunjukkan minat terhadap huruf, jalankan aktiviti-aktiviti yang melibatkan derianya yang lain. Libatkan bunyi-bunyian huruf sambil bertepuk tangan atau mengenal dan menggunting huruf-huruf daripada keratan akhbar. Kenalpasti aktiviti yang paling mereka gemari dan gunakannya selalu untuk pelajaran seterusnya.
Tip 6: Bunyikan huruf
Kaedah ini lebih dikenali sebagai kaedah fonetik atau decoding. Ia memperkenalkan anak-anak kepada bunyi huruf dan bukan nama huruf. Apabila telah kenali bunyi huruf, mereka akan bersedia untuk mencantumkan huruf-huruf menjadi perkataan. Galakkan anak-anak untuk membunyikan setiap huruf untuk perkataan-perkataan pendek seperti: i-b-u untuk ‘ibu’ dan s-a-y-a untuk ‘saya’. Membiasakan mereka membunyikan huruf-huruf akan memudahkan mereka mengenalpasti perkataan.
Tip 7: Jadilah contoh terbaik
Ingat pesanan ini. Anak-anak yang teruja dengan buku akan luntur minatnya jika tidak melihat contoh di rumah. Jika kurang minat membaca, pastikan kita masih membaca di hadapannya untuk beberapa minit sehari. Bacalah majalah, buku masakan, novel mahupun al-Qur’an. Tunjukkan bahawa membaca adalah sesuatu yang juga dilakukan oleh orang dewasa. Bagi anak lelaki, pastikan bapa menjadi contoh. Kita sering terlupa bahawa mereka lebih mudah belajar melalui contoh. Jadi, ambillah bahan bacaan dan bacalah, demi anak-anak!
Tip 8: Bersabar dan istiqamah
Apa jua kaedah, pastikan ianya konsisten serta dilakukan dengan tenang dan ceria. Hindarkan tekanan terhadap anak-anak kerana ia juga akan menyebabkan kita tertekan. Jika tiada perkembangan ketara, janganlah berputus asa. Teruskan mengajar anak-anak dalam 10 – 15 minit sehari-hari secara konsisten. Ini lebih berkesan daripada sesi 2 – 4 jam sehari kemudian berhenti beberapa hari. Kekalkan fokus kita kerana yang sedikit tetapi berterusan itu lebih baik dan berkesan.
Tip 9: Bergembiralah dengan hasilnya
Setiap perkembangan yang ditunjukkan walau sekecil mana harus dihargai. Berikan ganjaran seperti pujian, pelukan dan ciuman. Tunjukkan wajah yang gembira dan ceria setiap kali mereka mengeja, membaca mahupun sekadar membunyikan sesuatu terutama bayi. Jadikanlah proses pengajaran dan pembelajaran membaca ini sebagai kenangan manis untuk kita dan anak-anak.

No comments: